Spiga

Blog Widget by LinkWithin

Percaturan dua beradik


MELIHAT bentuk fizikal dua beradik ini tentu kita tidak menyangka mereka mempunyai jati diri dan cita-cita besar, terutama untuk menakluk dunia dalam permainan catur, sekali gus memecah monopoli negara Barat yang kini menguasai permainan ‘strategik’ itu.
Nur Nabila Azman Hisham, 12, dan adiknya Nur Najiha, 10, tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan mensasarkan pencapaian terbaik di peringkat dunia selepas wilayah Asia Tenggara (Asean) berjaya digenggam mereka.

Bukan sekali dua mereka menakluki pertandingan di wilayah Asean tetapi beberapa kali hingga kehadiran dua gadis cilik ini pasti membuatkan lawan gerun dan sentiasa mencari peluang untuk mengalahkan mereka.

Walaupun masih bertanding di peringkat junior, mereka memiliki ‘gelaran’ khas bagi pemain catur yang mampu menghadirkan waspada kepada lawan.

Nur Najiha kini bergelar Women Fide Master (WFM) hasil kejayaannya memenangi dua pingat emas kategori perempuan bawah 10 tahun dalam satu kejohanan di Hui, Vietnam, manakala kakaknya pula bergelar Women Candidate Master (WCM) hasil kejayaan meraih satu emas, satu perak dan tiga gangsa dalam kejohanan sama pada Jun lalu.

Sebenarnya kejayaan Nur Najiha adalah pengiktirafan besar kepadanya kerana di Malaysia ketika ini baru tiga orang menerima gelaran seumpamanya dan gadis manis itu adalah termuda bergelar WFM.

Di sebalik kejayaan demi kejayaan diraih kedua beradik itu, bakat mereka dikesan secara tidak sengaja sebelum mendapat tunjuk ajar sepenuhnya oleh bapa mereka, Azman Hisham Che Doi, 43, yang juga pemain dan peminat catur serta sokongan kuat ibu, Zazaluma Harun, 41.

Bakat Nur Nabila dan Nur Najiha mula dikesan ketika mengikut bapa mereka menyertai satu pertandingan di Perak kira-kira enam tahun lalu sebelum meminta untuk turut serta menyertai kejohanan itu.

Walaupun kedua-duanya tidak mendapat kedudukan baik dalam kejohanan terbabit, kehadiran gadis cilik itu menarik perhatian ramai, terutama pemain catur yang menganggap mereka mempunyai gaya permainan ‘luar biasa’, sekali gus berpotensi besar.

Menyedari perhatian orang ramai terhadap dua anak gadisnya, Azman terus mengasah bakat mereka dan mendapati Nur Nabila dan Nur Najiha dianugerahkan bakat yang boleh diketengahkan dalam permainan itu.

Berikutan itu dia sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk mendapatkan bahan rujukan dan membawa dua anak gadisnya menyertai kejohanan peringkat tempatan bagi mempertajamkan kemahiran dan meraih pengalaman.

“Sejak itu permainan mereka mencatat peningkatan dan mendapat perhatian ramai hingga meletakkan mereka sebagai pilihan utama dalam setiap kejohanan peringkat umur yang disertai.

“Berdasarkan pengamatan saya Najiha lebih bersifat ‘solid player’ (positional) manakala Nabila pula jenis ‘menyerang’ dengan gaya permainan tersendiri dan lain daripada yang lain.

“Tidak semua orang memiliki bakat seperti mereka,” katanya yang kini bukan hanya menjadi jurulatih kepada anak kedua dan ketiganya itu tetapi juga dua lagi anaknya.

Menurut Azman, komitmen disertai kecekalan serta fokus yang diberi ketika latihan mahupun pertandingan juga menjadi kunci kejayaan Nur Nabila dan Nur Najiha.

Azam Azman kini bukan hanya mahu meletakkan anaknya sebaris dengan jaguh dunia, tetapi juga berhasrat membawa mereka pada tahap ‘Grandmaster’ kerana ketika ini di Malaysia belum ada yang diiktiraf dengan gelaran sebegitu.

“Sasaran saya adalah menjadikan mereka ‘Grandmaster’ sebelum usia mereka menjangkau 20 tahun, sama-samalah kita lihat,” katanya.

Bagi Nur Najiha, minat terhadap permainan itu bercambah apabila sering melihat dan mengikut bapanya bermain serta menyertai pertandingan catur.

Menurutnya, semakin lama minatnya semakin mendalam dan mula mempelajarinya sehingga yakin untuk menyertai pertandingan peringkat umur.

“Saya sentiasa membahagikan masa antara latihan dan pelajaran setiap hari supaya kedua-duanya tidak ketinggalan kerana catur memang minat saya, manakala doktor menjadi cita-cita saya,” katanya yang akan menyertai Kejuaraan Catur Remaja Dunia di Kemer-Antalya, Turki bersama Nur Nabila pada November ini.

Nur Nabila pula berkata, untuk kejohanan di Turki nanti dia bertekad menempatkan diri antara tiga yang terbaik selepas hanya berjaya menduduki tempat ke-27 daripada tidak kurang 150 penyertaan dalam kejohanan tahun lalu.

Menurutnya, dia semakin yakin dengan persiapannya serta strategi lebih rapi dirangka bapanya bagi pertandingan itu supaya Jalur Gemilang dapat berkibar di Turki.

“Selain mahu menjadi pemain catur terbaik dunia, saya dapat menggunakan formula dan cara berfikir dalam permainan ini dalam pelajaran, terutama bagi subjek Matematik,” katanya.

>Info

> Bentuk permainan catur terkini timbul di Eropah Selatan ketika separuh kedua abad ke-15 selepas berubah daripada permainan asal lamanya di India

> Biasanya dimainkan pada papan empat segi yang mempunyai 64 petak dan silih berganti warna, biasanya putih dan hitam, dengan setiap pemain mempunyai petak terang

> Dimainkan dua pemain pada satu masa.

>Profil

NAMA: Nur Nabila Azman Hisham
UMUR: 12 tahun
LAHIR: 11 Januari 1997 di Kuantan, Pahang
PENDIDIKAN: Tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, Kuala Selangor
HOBI: Bermain catur dan menyanyi

PENCAPAIAN: Dianugerahkan gelaran Women Candidate Master (WCM); 1 pingat emas, 1 perak, 3 gangsa pada Asean Age Group Championship 2009; Johan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) kategori bawah 12 tahun (2007-2009); Juara National Junior Championship 2009; Juara International Kuala Lumpur Open 2008 dan tempat ke-27 Kejuaraan Catur Remaja Dunia

NAMA: Nur Najiha Azman Hisham
UMUR: 10 tahun
LAHIR: 6 Januari 1999 di Sungai Buloh, Selangor
PENDIDIKAN: Tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, Kuala Selangor
HOBI: Bermain catur dan membaca

PENCAPAIAN: Women Fide Master (WFM); 2 pingat emas pada Asean Age Group Championship 2009 dan tempat kedua National Junior Championship 2009

0 comments: