Spiga

Blog Widget by LinkWithin

Catur Dalam Kosmo@13 April 2010

"Ini kali pertama saya masuk pertandingan catur pada waktu malam sehingga awal pagi dan ia amat memenatkan kerana perlu berfikir ketika badan letih.

"Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana saya anggap ia satu pertandingan yang unik dengan memberikan pengalaman yang mencabar kemampuan diri," katanya kepada Kosmo! pada pertandingan yang berlangsung di Seksyen 24, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Abdullah, selain memberi kelainan dari segi masa penganjuran, pertandingan berkenaan juga menawarkan satu lagi keunikan iaitu dilangsungkan di kawasan perniagaan bazar larut malam.

"Bukan sahaja terpaksa lawan perasaan mengantuk, peserta juga perlu mengawal minda supaya tidak terganggu dengan persekitaran bazar yang hingar-bingar," ujarnya.

Dia yang berasal dari Terengganu berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100 dan hamper.

Tempat pertama dirangkul oleh peserta Filipina, Ian Udani, 40, dengan hadiah wang tunai RM300 berserta hamper manakala tempat kedua dimenangi oleh Kamaluddin Yusof, 40, dari Shah Alam.

Pertandingan catur berkenaan menggunakan sistem pusingan Robin iaitu semua peserta berlawan dengan setiap pencabar secara serentak dalam enam pusingan. Peserta yang memperoleh mata paling tinggi dikira sebagai pemenang.

Menurut Duta Uptown Shah Alam, Irwan Shah, pertandingan yang merupakan anjuran Persatuan Catur Kuala Lumpur dan Uptown Shah Alam itu berlangsung dari pukul 9 malam, dan berakhir 2.30 pagi keesokannya.

"Kita pilih tempoh masa ini selaras dengan waktu operasi bazar larut malam Uptown Shah Alam bagi mewujudkan satu kelainan dan untuk menarik lebih ramai pengunjung," katanya.


AIZUL HISHAM MOHD. DOM


Ujar Irwan, pertandingan catur tersebut mendapat sambutan hangat daripada kalangan peminat catur yang datang dari serata Lembah Klang, Ipoh dan Johor Bahru selain terdapat penyertaan seorang lelaki warga Filipina.

"Pertandingan berlangsung dengan meriah dan para peserta berentap sesama sendiri dalam kalangan pemain yang terdiri daripada peserta seawal usia lapan tahun hingga mencecah 52 tahun," jelasnya.

Kata Irwan, pihaknya mungkin akan menjadikan pertandingan catur pada waktu malam sehingga awal pagi itu sebagai aktiviti tahunan Uptown Shah Alam dengan menarik penyertaan lebih ramai peserta dalam penganjuran akan datang.

"Selain aktiviti perniagaan, kita juga mahu jadikan Uptown Shah Alam sebagai satu destinasi rekreasi keluarga yang menarik untuk dikunjungi," ujarnya.

Tambahnya, selain catur, Dataran Usahawan Selangor Sdn. Bhd. yang menguruskan Uptown Shah Alam turut menganjurkan pelbagai aktiviti lain termasuk pertandingan Uptown Idol 2 dan Uptown Bintang Kecil 2. Pencariannya berlangsung sepanjang Mac 2010 dan peringkat akhir pada 10 April ini.